Berita

Gastak : Malaysia perlu tekong pengalaman di Sukan SEA

AHMAD DHUHA

KOTA BHARU – Kelibat tekong senior seperti tonggak Kuala Lumpur (KL) Thunder iaitu Syahir Rosdi diperlukan oleh pasukan kebangsaan dalam menggalas misi di Sukan SEA Vietnam pada Mei ini.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) Zuraidin Abdullah yang berpandangan skuad Malaysia perlu diperkuat tekong senior.

“Untuk Sukan SEA nanti Malaysia akan diperkuatkan oleh barisan tekong-tekong muda. Kami melihat ianya sebagai sesuatu yang positif untuk arena sepak takraw negara.

“Malaysia amat perlukan Syahir untuk memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman kepada pemain muda.

“Hal ini terutama semasa berdepan pasukan kuat seperti Thailand. Berpandukan prestasi semasa, tidak salah untuk panggil Syahir kerana pemain itu cukup cemerlang sepanjang saingan Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.

“Pemain itu (Syahir) sudah masak dengan saingan diperingkat tertinggi. Lagipun posisi tekong merupakan ‘tunjang’ utama kekuatan pasukan,” katanya.

Dalam aksi di Sukan SEA nanti, skuad negara membariskan tekong ‘ubi muda’ iaitu Faisal Fuad , Zarif Merican Ibrahim Merican (Pulau Pinang), Haziq Hairul Nizam dan Zuhri Zain (Selangor).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *