Sukan Sea Vietnam

Malaysia ‘kempunan’ raih emas takraw

AHMAD DHUHA

SKUAD sepak takraw negara kempunan meraih emas dalam acara antara regu lelaki apabila kalah mudah 0-2 ditangan Thailand pada aksi penentuan pingat sebentar tadi di Gimnasium Hoang Mai, Hanoi, Vietnam.

Pada aksi itu, skuad Gajah Putih yang membariskan Siriwat Sakha sebagai tekong, bersama Jirasak Pakbuangoen (perejam) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan) berjaya memenangi set pertama 18-21.

Set pertama, Malaysia membariskan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Muhammad Afifudin Razali (perejam) dan Norfaizul Abd Razak (pengumpan).

Aksi diset kedua, Malaysia membawa masuk Muhammad Noraizat Nordin (perejam) untuk menggantikan dengan Afifudin, namun percaturan itu tidak berhasil apabila tumpas 13-21.

Sementara itu pengendali negara, Abd Talib Ahmad berkata, anak buahnya sudah menunjukkan prestasi yang sebenar walaupun masih kempunan untuk meraih emas.

“Kita tengok pada saat akhir penyudah kurang berkesan sehingga membolehkan Thailand mengambil kesempatan berkenaan,” katanya.

Gangsa dalam acara berkenaan diraih secara bersama Filipina dan Indonesia selepas masing-masing terkandas di separuh akhir yang turut dijalankan hari ini.

Sebelum ini dalam acara berpasukan lelaki, Malaysia turut meraih perak selepas menduduki tempat kedua dalam saingan yang dijalankan secara round robin.

Leave a Reply

Your email address will not be published.