Berita

PSM kena dapat kebenaran MSC

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) bukan lagi badan pengelola atau badan perwakilan sukan sepak takraw di Malaysia selepas Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Dunia (ISTAF) menyingkirkan PSM dan mengiktiraf Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai satu-satunya badan pentadbir dan mengawalselia sukan sepak takraw di negara ini.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, selagi PSM sebuah badan sukan yang berdaftar, tiada halangan PSM untuk mengadakan aktiviti sepak takraw sebagaimana diperuntukkan Seksyen 15 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Namun tegas Ibrahim, sebarang penganjuran perlu mendapat kebenaran badan pengelola, MSC, memandangkan kawal selia peraturan-peraturan atau undang-undang acara sukan sepak takraw kini bukan lagi seliaan PSM sebaliknya berada di bawah tanggungjawab MSC yang mendapat pengiktirafan dua badan induk iaitu ASTAF dan ISTAF.

Jelas Ibrahim lagi, perkara ini adalah selaras peruntukan Seksyen 34 Akta 576 bahawa kaedah dan garis panduan antarabangsa yang diiktiraf hendaklah digunakan untuk pertandingan.

“Dalam bahasa mudah PSM tidak boleh menganjurkan sebarang pertandingan termasuk Piala Emas Khir Johari pada Julai ini selagi tidak mendapat kelulusan dan sokongan MSC, biarpun PSM masih sebuah badan sukan yang berdaftar di negara ini sedangkan MSC telah diiktiraf ASTAF dan ISTAF.

“Sekiranya mana-mana syarikat atau penganjur kejohanan diadakan tanpa kebenaran badan pengelola atau kebiasaannya disebut sanksi, penganjuran itu boleh dianggap melanggar atau tidak mematuhi Seksyen 34 Akta Pembangunan Sukan 1997 berhubung fasal penggunaan kaedah dan garis panduan antarabangsa yang diiktiraf untuk pertandingan, sebab itu, kebenaran atau sanksi daripada badan pengelola adalah salah satu syarat yang ditetapkan untuk menganjurkan apa-apa pertandingan atau kejohanan sukan.

“Selain kebenaran MSC, PSM juga perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN. Imej Malaysia sebagai kuasa sepak takraw dunia akan terjejas jika penganjuran pertandingan atau kejohanan sukan berprestij yang dianjurkan tidak berdasarkan peraturan atau undang-undang yang tidak diiktiraf,” katanya kepada Sukan Sinar.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat PSM untuk menganjurkan semula Kejuaraan Piala Emas Khir Johari pada Julai depan selepas dua tahun ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Sementara itu, mengulas mengenai status PSM sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi surat ditandatangani Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, yang mengesahkan PSM masih lagi merupakan ahli gabungan kepada badan induk itu dan sebagai persatuan sukan kebangsaan, PSM mempunyai bidang kuasa ke atas sukan sepak takraw di negara ini.

“Berdasarkan kepada Artikel 7.6 Perlembagaan MOM, kalau nak jadi ahli MOM yang mempunyai bidang kuasa ke atas suatu sukan atau disiplin sukan tertentu di Malaysia, badan sukan itu perlu memenuhi syarat untuk bergabung dengan Persekutuan Antarabangsa (IF) yang diiktiraf yang mengawal sukan tersebut.

“Bagaimanapun ketika ini PSM ini sudah pun disingkirkan ASTAF dan ISTAF. Oleh itu, berdasarkan artikel tersebut, PSM tidak ada bidang kuasa ke atas sukan takraw, namun terpulanglah kepada MOM untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan,” kata Ibrahim.-SINAR HARIAN

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.