Berita

PSM pastikan import STL ‘selamat’

PETALING JAYA: Sedar hubungan ‘panas’ dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) mungkin memberi masalah kepada penggunaan pemain import dalam Liga Sepak Takraw (STL) musim depan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan memastikan semua masalah diselesaikan sebelum saingan bermula, Disember ini.

Saingan Emas Anuar STL 2021/2022 pada mulanya turut berdepan isu pemain import ekoran penggantungan PSM sebagai ahli gabungan Astaf, sebelum perkara tersebut berjaya diselesaikan beberapa hari sebelum kejohanan bermula, Januari lalu.

Memandang kemelut PSM-Astaf masih tiada kesudahan, Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, isu pemain import antara perkara pertama yang akan ditangani oleh badan itu sejurus Piala Juara-Juara STL musim ini berakhir semalam.

“Cuma masih terlalu awal untuk kita perkatakan pada ketika ini. Biarlah selesai dulu Piala Juara-Juara kerana final akan berlangsung malam ini (malam tadi).

“Apa yang boleh saya ulas, masalah pemain import ini memang dalam perancangan kami dan saya berjanji akan menyelesaikan kemelut tersebut sebelum musim baharu bermula pada hujung tahun ini.

“Kita akan bawakan isu ini ke dalam mesyuarat PSM akan datang dan buat masa ini, biarlah STL musim ini selesai dulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kemelut yang melanda antara PSM dan Astaf telah mendorong beberapa pasukan STL untuk mengubah hala tuju mereka dalam soal pengambilan import kepada negara selain Thailand.

Sebagai contoh, Melaka Titans dikhabarkan berura-ura untuk menggunakan khidmat import dari Indonesia pula, setelah menyaksikan pengambilan import Thailand mengundang lebih banyak masalah dengan Astaf.

Menurut Sumali, pihaknya menyedari masalah yang berlaku dan tidak menghalang siapa pun pemain import untuk di bawa masuk pasukan berkenaan.

“Saya akan pastikan masalah pemain import tidak akan berulang untuk musim baharu ini dan kita juga akan selidik akta yang telah dimaktubkan agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara baik,” ujarnya.

Beliau turut mengakui kehadiran pemain import telah banyak membantu kualiti STL itu sendiri, selain memberikan persaingan sihat kepada para pemain sepak takraw negara. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *