Berita


SEPAK TAKRAW SUKAN
Tiga jejaka ‘hangatkan’ STL

SYAHIR Rosdi dan Muqlis Borhan bersahabat baik dalam skuad kebangsaan, namun selama hampir tiga bulan ini mereka akan bermusuhan apabila berentap untuk pasukan masing-masing dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.

Libasan Azlan Mubin pula pernah digeruni satu masa dulu, namun kini selepas bersara pada 2007 dia masih ‘digeruni’, bukan di atas gelanggang tetapi ulasan-ulasan serta kritikan tajamnya sebagai pengulas sukan yang disegani.

Tiga susuk ini akan menjadi watak penting sepanjang STL 2021/2022 berlangsung dari 7 Januari hingga 6 Mac, sebelum disambung dengan Piala Juara-Juara dari 20 hingga 26 Mac.

Selepas cemerlang membawa Kuala Lumpur (KL) Thunder merangkul kejuaraan berganda musim lalu, kelibat tekong tinggi lampai, Syahir, 25, sekali lagi dinantikan peminat.

Bakal menjadi ‘gula’ yang menarik semut, pemain dengan ketinggian 1.92 meter itu antara tarikan utama penyokong untuk kembali ke stadium buat kali pertama sejak 2019.

Pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu diberi julukan ‘Tekong Emas Negara’ kerana kemampuan melibas atau meng­angkat kaki kanannya hampir setinggi 3m, melakukan servis tegak di atas kepala.

Tidak hanya terkenal kerana kehebatan di atas gelanggang, Syahir yang menjadi sebahagian tonggak Malaysia ketika menamatkan kemarau 24 tahun dengan memenangi pingat emas Sukan Asia di Indonesia pada 2018 ibarat ‘wajah’ STL.

Biarpun cukup digeruni kawan dan lawan, Syahir seorang yang sentiasa merendah diri, malah dia tidak melihat dirinya atau KL Thunder sebagai pilihan utama untuk mempertahankan kejua­raan STL mahu pun Piala Juara-Juara musim ini.

“Sasaran kami tahun ini bermain dengan lebih berhati-hati, namun tetap cuba untuk mempertahankan gelaran.

“Persiapan kali ini lebih sukar kerana musim lalu saya tidak berlatih bersama pasukan, jadi dengan baki masa yang ada menjelang STL saya akan cuba berikan yang terbaik kepada pasukan.

“Selain itu, persiapan pasukan juga agak terjejas kerana dewan latihan kami dilanda banjir, sekali gus membuatkan ia lebih mencabar,” kata Syahir kepada Mingguan Malaysia.

Muqlis, 31, pula teruja untuk kembali ke gelanggang kerana merindui gegak gempita penyokong yang dijangkakan membanjiri Stadium Titiwangsa (Kuala Lumpur), Spice Arena Bayan Baru, Kompleks Sukan Panji (Kota Bharu) dan Stadium Indera Mulia, Ipoh dan Iskandar Malaysia Studio, Johor Bahru.

“Kehadiran penonton ibarat tonik tambahan buat semua pasukan dan menaikkan semangat pemain untuk memberi persembahan lebih baik.

“Sebagai pemain, sememangnya kami mengharapkan kehadiran penonton ke stadium dan saya berharap ramai penyokong dapat hadir untuk menyaksikan perlawanan STL,” katanya.

Azlan pula orang pa­ling teruja menantikan STL 2021/2022 kembali biarpun dia tidak lagi melibas di atas gelanggang.

Pernah digelar ‘killer melayang’ pada zaman kegemilangannya, dapat melihat pemain-pemain gene­rasi baharu bersaing di gelanggang cukup menggembirakan personaliti kelahiran Kulim, Kedah itu.

Jika Syahir dianggap ‘wajah’ STL, Azlan pula menaikkan sepak takraw ke­rana popularitinya.

Petah bercakap di depan ka­mera, malah pernah disunting sebagai ‘pelakon’, bila mende­ngar celoteh jejaka berusia 38 tahun itu di kaca televisyen, ramai yang terlupa dia sebenarnya seorang atlet yang hanya terjun ke bidang penyiaran selepas bersara.

“Apabila penonton dibenarkan kembali memasuki stadium, perkara ini dinanti-nantikan semua orang bukan saya sahaja sebagai pengacara, pemain juga tidak sabar untuk beraksi.

“STL musim lalu berlangsung dengan jaya tapi situasi tidak sama pada musim sebelumnya. Aura yang diberikan penonton sangat dirasai dan mampu memeriahkan kejohanan,” katanya.

Pemilik Ijazah Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu yang pernah mewarnai pentas Sukan Asia dan Sukan SEA akan akan menceriakan peminat sepak takraw sepanjang STL 2021/2022 dengan celoteh serta kritikannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *