Sukan Sea Vietnam

Skuad takraw tidak ambil pusing kemelut persatuan

PASUKAN sepak takraw negara mengakui tumpuan mereka hanya untuk memburu pingat pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan tanpa rasa terjejas dengan kemelut Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dilihat masih belum menemui titik penyelesaian.

PSM masih lagi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun di peringkat antarabangsa PSM tidak diiktiraf oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf). Sebaliknya, badan induk antarabangsa itu menerima Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan baharu.

Namun, skuad sepak takraw negara yang beraksi di bawah payung Majlis Sukan Negara (MSN) tidak ambil pusing mengenai kemelut berkenaan sebaliknya yakin pemain yang terpilih dalam keadaan bersedia untuk membawa pulang pingat buat Malaysia.

Menjelang saingan Sukan SEA Hanoi pada bulan depan, skuad sepak takraw negara menghantar sebanyak 83 peratus tenaga muda untuk memburu satu perak dan tiga gangsa pada temasya dwitahun tersebut.

Ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad berkata, isu yang berlaku pada ketika ini tidak mengganggu fokus pemain sebaliknya seramai 24 pemain yang menjalani latihan di Janda Baik, Pahang dan Terengganu tekad untuk membawa pulang pingat buat negara.

“Selaku pemain, tanggungjawab mereka adalah kepada pasukan. Melihat kepada sesi latihan, kesemua pemain berada dalam tahap terbaik dan mereka fokus 100 peratus pada sesi latihan.

“Jika benar, atlet ini terganggu dengan isu diluar sana, saya rasa pada sesi latihan kita boleh lihat. Ketika ini, saya tidak nampak malahan mereka bersemangat untuk membantu negara menyumbang pingat di Hanoi nanti,” kata Abdul Talib pada sidang akhbar di MSN semalam.

Sementara itu, kapten negara, Muhammad Afifuddin Mohd. Razali mengakui bahawa mereka tidak masuk campur urusan luar padang melibatkan persatuan dan tugas pemain adalah di temasya Sukan SEA Hanoi.

“Mengenai kemelut yang sedang berlaku ini, saya dan pasukan tidak ambil tahu, pemain hanya menjalani latihan dan bertanding di kejohanan. Misi kami kali ini adalah untuk membawa pulang pingat dan itu adalah perkara paling penting,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *