Sukan Sea Vietnam

Thailand ‘libas’ skuad sepak takraw negara

HANOI: Seperti dijangka skuad sepak takraw lelaki negara gagal mengatasi Thailand dalam acara berpasukan apabila tumpas 3-0 pada saingan Sukan SEA 2021 di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai di sini, hari ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan mereka kini hanya fokus untuk sekurang-kurangnya meraih perak dengan syarat mampu mengatasi cabaran tuan rumah, Vietnam.

Aksi serba tidak menjadi skuad lelaki negara bermula babit regu pertama lagi apabila Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifuddin Razali tumpas 4-21, 19-21 kepada Phutawan Sopa, Pattarapong Yupadee dan Sittipong Khamcan.

Hasrat melihat regu kedua melakukan keajaiban berdepan gandingan ‘otai’, Porchai Kaokaew, Yotsawat Uthaijaronsri dan Pornthep Tinbangbon tidak kesampaian apabila Muhammad Faisal Mohd Fuad, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Norizat Nordin tunduk 16-21, 11-21.

Dalam aksi regu ketiga masing-masing cuba untuk membuat beberapa perubahan dan percaturan ketika di pertengahan saingan apabila Malaysia yang pada mulanya menurunkan Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong memberi laluan kepada Zuhri Muhammad Zin, sebelum kembali kepada percaturan asal.

`Killer’ Redwan Hakim Muhammad pula pada mulanya diberi peluang beraksi sebelum digantikan dengan Muhammad Eqbal Shamsuddin, manakala ‘feeder’ Muhammad Zulhasni Basri yang berusia 17 tahun kekal sehingga tamat saingan yang menyaksikan mereka tumpas kepada regu Jirasak Pakbuangoen, Rachan Viphan dan Kritsanapong Nontakote (Wichan Temkort 9-21, 7-21.

Pengendali skuad sepak takraw kebangsaan, Abdul Talib Ahmad berkata regu pertama dan kedua sudah menunjukkan semangat untuk memberi tentangan kepada Thailand namun dari segi kemahiran permainan ia jelas memihak kepada pasukan lawan.

“Disebabkan kesilapan kecil, jurang mata kita agak jauh pada set pertama regu pertama. Set kedua harus diberi pujian kepada mereka kerana mampu bersaing sebelum tumpas 19-21.

“Regu kedua pula pada mulanya nampak ada bagi saingan, disebabkan ada sedikit kelonggaran di bahagian pertahanan nampak jelas Thailand memberi tumpuan ke arah itu. Mereka juga bukan saja mantap dari segi serangan malah pertahanan,” katanya.

Ditanya mengenai fokus untuk sekurang-kurangnya meraih perak, Abdul Talib berkata, beliau berharap anak buahnya bangkit menjelang aksi kedua menentang Kemboja esok.

“Selepas Kemboja kita akan berdepan tuan rumah, Vietnam. Jadi apa yang kurang hari ini diharap mampu diperbaiki menjelang aksi berdepan Kemboja, seterusnya mencapai kemenangan ketika berdepan Vietnam untukmeraih perak.

“Bila kita tengok sekarang Vietnam ada kelebihan dari segi status sebagai tuan rumah. Apa pun saya harap pemain muda kita dapat menunjukkan prestasi terbaik mereka dan mempunyai keyakinan untuk mengalahkan Vietnam. Mereka perlu memperbaiki permainan dan berhati-hati berdepan tuan rumah, yang memiliki kekuatan dari segi mental,” katanya.-Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.